PEMBENTANGAN MURID



Pembentangan murid adalah salah satu aspek penting dalam penilaian murid. Aspek ini selalunya cukup mencabar kerana dalam kebanyakan keadaan, murid tidak dapat membentangkan hasil kerja atau dapatan mereka seperti yang guru jangkakan. Dalam memberikan tugasan atau meminta murid membuat pembentangan adalah perlu untuk kita ketahui beberapa perkara tentang pembentangan. 

Apakah yang dimaksudkan dengan pembentangan?
Pembentangan ialah pameran hasil tugasan dan dapatan murid dalam pelbagai bentuk untuk menunjukkan tahap kefahaman serta kreativiti murid.

Apakah fungsi pembentangan murid?
Pembentangan murid dapat membantu guru dalam beberapa aspek iaitu:
  • Membuat penilaian yang lebih jelas samada dari segi penggunaan bahasa, pengetahuan isi kandungan, kemahiran mahupun kreativiti murid.
  • Memudahkan sumbangsaran bahan. Pada tahap ini, murid sedang melalui pembelajaran berasaskan inkuiri. Murid mencari maklumat tentang topik yang dipelajari dan kongsikan dengan rakan-rakan. Murid lebih bertanggungjawab dan hubungan murid-murid lebih baik kerana belajar daripada satu sama lain. 
  • Melatih murid menggunakan bahasa yang betul. Murid perlu berkomunikasi jadi penggunaan bahasa yang betul dan mesej yang tepat dipraktikkan melaui pembentangan kerana maksud perlu disampaikan kepada audiens.

Apakah bentuk-bentuk pembentangan murid?
Ada 3 bentuk pembentang murid iaitu:
  1. Oral/Lisan
  2. Performance/Persembahan
  3. Exhibition/Pameran

Oral/Lisan

Pembentangan secara lisan ialah murid membentangkan hasil perbincangan atau dapatan dengan berbicara berhadapan dengan murid. Bentuk pembentangan ini melatih murid untuk menyampaikan bahan mereka secara bersemuka dengan audiens. Bukan sahaja murid berusaha untuk menyampaikan mesej, murid juga meningkatkan tahap keyakinan diri untuk berucap. Pembentangan jenis ini membuka ruang kepada soal-jawab, perdebatan dan sumbangsaran.
Contoh: Peta i Think, Hot Seat, Powerpoint

Performance / Persembahan
Pembentangan secara persembahan ialah cara kreatif untuk murid menyampaikan isi atau mesej yang ingin dikongsikan. Hal ini meraikan kecerdasan pelbagai mereka. Dengan itu, murid dapat menyampaikan sesuatu dengan lebih kreatif. Pembentangan sebegini lebih mencabar kerana tidak membentang isi atau kandungan secara langsung. Oleh itu persembahan perlu ringan, menarik dan mudah difahami.
Contoh: Persembahan ialah drama, sketsa, role-play, nyanyian, puisi, lakonan. 

Exhibition / Pameran
Pameran adalah cukup ringan. Murid hanya perlu pamerkan hasil kerja dan dibiarkan untuk dilihat oleh murid-murid lain. Dalam keadaan tertentu, guru boleh memberika peluang untuk murid menilai hasil kerja rakan mereka, memberi pendapat ataupun mengulas.
Contoh: Gallery Walk, Three Stray One Stay, Magic Pen, Stations


Kelebihan apabila murid membuat pembentangan ialah:
  • Murid ada hala tuju. Oleh itu murid tahu keperluan untuk membuat persiapan untuk pembentangan.
  • Murid berkomunikasi. Pembentangan memerlukan komunikasi antara ahli kumpulan. Kemahiran komunikatif dipraktikkan dalam proses ini.
  • Murid dapat menguasai kandungan secara task based. Dengan memecahkan topik besar kepada sub topik atau kemahiran, setiap kumpulan dapat menguasai aspek tertentu dengan berbincang untuk topik itu sahaja sehingga menjadi expert. Kemudian untuk sub topik lain, mereka belajar dari kumpulan lain.
  • Murid belajar secara koperatif. Elemen koperatif membantu murid mencambah idea dengan lebih tersusun secara berdisiplin. Percambahan idea murid lebih tersusun apabila perbincangan secara koperatif digunakan. Contohnya ialah Round Table, Rally Robin dan Think Pair Share.
  • Meningkatkan keyakinan diri murid. Tiada cara lain untuk meningkatkan keyakinan diri murid berkomunikasi melainkan dengan membuat pembentangan.

Beberapa tips pembentangan yang berkesan:

  • Gunakan bahasa yang mudah difahami.
  • Pernyataan tajuk atau topik atau isi utama yang jelas.
  • Penggunaan peta minda untuk mengawal skop perbincangan dan percambahan idea.
  • Bahan media seperti gambar, video atau audio untuk menarik minat audiens.
  • Pengurusan masa yang baik. Pembentangan menepati jumlah masa yang diperuntukkan
Jom kita bincang dalam
t.me/mudahmengajar




Catat Ulasan

0 Ulasan