Motivasi Murid Semasa Pdpr



Sudah masuk minggu kedua kita ber 'PdPr' selepas cuti raya. Masih mampukah cikgu-cikgu mempertahankan rekod cemerlang dengan kehadiran dan penglibatan murid pada tahap maksima. Mencabar kan. Tiada cara paling terbaik boleh diputuskan tetapi kita ada seribu satu ikhtiar untuk terus meningkatkan profesionalisme dengan konsep PdPr ini. Tips ada banyak tetapi ini adalah antara yang mudah dan ramai guru hebat kita buat.

1. Tanya khabar murid

Sentiasa bertanyakan perkembangan murid. Hal ini tidak terbatas sekadar kesihatan murid, cikgu juga boleh bertanyakan tentang apa sarapan murid, jam berapa murid tidur malam sebelumnya, apa rancangan aktiviti di waktu petang nanti. Ala perbualan santai gitu. Hal ini menjadikan guru seperti seorang yang mudah didekati dan amat perihatin. Jika murid mengadu mengantuk, boleh beri panduan untuk tidak mengantuk semasa kelas. Apapun, sesi Pdpr jadi lebih kepada sesuatu yang mesra dan menyeronokkan 😀. 'Sense of humour' juga dapat membangkitkan suasana. Jangan lupa selitkan doa atau kata-kata motivasi untuk murid sebelum mulakan kelas. 

2. Bincang dan putuskan bersama dengan murid

Berikan murid peluang untuk memilih aktiviti yang mereka suka. Dengan itu, peratus penglibatan pastinya jauh lebih baik. Guru hanya perlu rangka pengisian aktiviti sahaja. Ada murid suka kuiz Kahoot, kadang-kadang nak tengok video. Di sinilah kepakaran dan kemahiran cikgu dalam menyesuaikan input dengan aktiviti yang dapat memberikan impak maksima kepada pembelajaran murid. Maklum balas setiap kali habis sesi PdPr membantu guru merancang PdPr seterusnya dengan lebih berkualiti.

3. Beri Ganjaran Dalaman dan Luaran

Seperti biasa cikgu berikan ucapan 'tahniah', 'bagus', 'cemerlang' kepada murid bagi yang menunjukkan prestasi yang baik dalam sesi pdpr atas talian mahupun luar talian. Memberi peluang kepada murid menunjukkan hasil tugasan mereka yang membanggakan itu atau menerangkan hasil kerja mereka juga boleh menjadi satu penghargaan kepada mereka. 

Murid yang respon, jawab mahupun beri kerjasama dengan baik boleh diberikan ganjaran maujud jenis 'one-off' atau terkumpul. Ada beberapa aplikasi untuk mengumpulkan point seperti Classdojo. Setelah murid mencapai point tertentu, boleh berikan hadiah maujud seperti penanda buku, sticker dan bermacam-macam lagi. Ada guru yang berikan terus dengan mengirimkan ganjaran-ganjaran tersebut melalui pos. Ada yang akan berikan semasa jumpa bersemuka nanti. Bagaimanapun, pastikan murid dimaklumkan mereka bakal menerima hadiah tersebut sementara menunggu ruang bersemuka nanti. 

4. Pelbagaikan bentuk penilaian

Dalam murid belajar, mereka juga mahu menguji kemampuan diri. Oleh sebab terdapat banyak kekangan semasa PKP ini, guru boleh pelbagaikan bentuk tugasan. Bagi murid yang dapat sertai sesi atas talian, boleh terus uji murid secara lisan. Boleh juga terus tulis di kertas dan tunjukkan terus semasa kelas 'live'. Bagi murid yang tidak dapat join sesi 'live' boleh teruskan dengan memberi gambar dan murid jawab dan kemudian hantar ke dalam kumpulan Whatsapp, Telegram, Google Classroom dan sebagainya. 

5. Tunjuk Analisis Kehadiran

Adalah penting untuk murid tahu penglibatan mereka. Guru perlu merekodkan semua kehadiran murid dan siap atau tidak siap tugasan mereka. Analisis ini boleh ditunjukkan secara berkala kepada murid. Dan guru boleh buat ulasan akan penglibatan murid lebih-lebih lagi jika ada peningkatan yang boleh cikgu puji. Dengan itu murid tahu prestasi mereka. Malah cikgu juga akan dapat mengesan masalah yang berlaku dengan lebih baik. Cikgu boleh simpan data dan membuat pentaksiran bilik darjah. Fokuskan kepada hal-hal yang baik semasa menunjukkan analisis atau membuat penerangan kepada murid.

6. Ikuti Perkembangan Media Sosial

Apabila murid banyak menghabiskan banyak masa di rumah, pastinya mereka akan lebih aktif di media sosial. Oleh itu, guru boleh terlibat lebih aktif di media sosial.  Tidak semestinya cikgu membina bahan di media sosial tetapi boleh juga menjadi pengikut murid kita. Lihat apa yang mereka kongsikan dan boleh beri pujian dan mencari kebaikan dalam mereka menyerlahkan bakat mereka. Murid perlu rasa selesa dan selamat dengan kehadiran guru. Tidak kisah sama ada Facebook, Tik Tok, Twitter atau Instagram, sekalipun Twitch atau Discord. 


7. Movies

Dengan duduk semasa kelas 'live' untuk tempoh yang lama, murid boleh menjadi bosan. Boleh integrasikan bahan pembelajaran dengan cerita filem, klip video pendek atau video pendek. Murid lebih sanggup untuk duduk lama dengan menonton video berbanding melihat paparan buku teks atau pembentangan slaid guru. 

8. Cikgu Hari Ini!

Bagi merancakkan dan menyeronokkan suasana, cikgu boleh berikan kuasa kepada mana-mana murid berbakat untuk jadi cikgu semasa sesi kelas 'live'. Hal ini dapat memunjukkan kepada murid bahawa mereka juga berhak menentukan corak pembelajaran mereka. Bergantung kepada kesediaan dan kekuatan murid, murid boleh mengetuai sesi pdpr ini daripada semudah berkongsi hasil tugasan mereka yang lepas dan buat penerangan dengan panduan daripada guru sehinggalah kepada murid menyediakan bahan pembentangan untuk sesi pdpr. Cara ini tidak jauh berbeza dengan konsep pembelajaran berasaskan projek dan juga pembelajaran berasaskan inkuiri.

9. Pertandingan

Paling ditunggu-tunggu murid ialah pertandingan. Murid suka untuk bersaing sama konsep dengan kenapa mereka suka dengan permainan video dan atas talian. Jadi sesi pdpr cikgu boleh diakhiri dengan kuiz atas talian setiap sekali. Murid lebih teruja dan sentiasa melihat pencapaian mereka. 

Saya berharap sedikit sebanyak perkongsian saya ini dapat membantu cikgu-cikgu semua. Saya sentiasa meningkatkan pembacaan dan kajian daripada pelbagai pihak dan sumber. Jika ada pertanyaan atau sesuatu untuk dikongsikan, tinggalkan di ruangan komen ya! Selain itu, join kumpulan Telegram saya untuk tidak ketinggalan dengan update terkini.

t.me/mudahmengajar

Catat Ulasan

0 Ulasan