Dilema PBD: Boleh Percaya Ke?


Baru - baru ini saya telah berkunjung ke sebuah sekolah di daerah Johor Bahru. Seorang Ketua Panitia telah menyuarakan kegusaran beliau tentang persoalan-persoalan yang timbul tentang pelaksanaan PBD. Oleh sebab murid-murid sekolah itu kebanyakannya datang daripada ibubapa yang perihatin tentang pembelajaran anak-anak, maka ada ibubapa yang mula membandingkan prestasi anak mereka. Pastinya tahap penguasaan murid melalui TP menjadi bandingan mereka. Ibu A tidak berpuas hati mengapa anaknya yang dia rasakan lebih pandai daripada anak kawannya itu; yang datang daripada kelas yang satu lagi yang majoritinya lemah (secara pemerhatian umumnya), mendapat TP lebih rendah. Timbul persoalan, adakah logik untuk murid kelas yang lebih baik secara kasarnya, diberikan TP lebih rendah kerana perlu bersaing dengan standard murid-murid lebih pandai. Atau murid kurang prestasi di satu kelas lagi diberikan TP lebih tinggi untuk beri galakkan atau kerana untuk mengelakkan tergolong dalam TP1-TP3.

Persoalannya adakah pemberian TP ini logik dan boleh diterima sebenarnya?

Mari kita lihat dua keadaan di atas.

Pertama, asas pemberian TP
Umum mengetahui, pemberian TP adalah diberikan oleh guru atas pertimbangan profesional guru di kelas tersebut. Oleh itu, apa yang berlaku, hanya guru itu yang lebih jelas tentangnya. Penentuan TP adalah berdasarkan penilaian yang diberikan oleh guru melalui penilaian bertulis, lisan dan mungkin juga pemerhatian. Dalam keadaan tertentu, situasi ini berlaku melalui projek yang disiapkan. Hal ini adalah satu proses yang berterusan yang guru mesti ada jutsifikasi jelas bagaimana penentuan TP ini dilakukan. Bagaimanakah justifikasi ini dibina?
1. Apakah evidens  atau hasil kerja yang ada untuk menyokong penentuan TP?
2. Apakah kata kunci dalam rubrik atau kenyataan TP yang selari dengan hasil murid? menerangkan? menjelaskan?menyatakan?membentangkan?

Kedua, kredibiliti guru dalam memberi TP
Bahagian ini adalah subjektif. Kita masih berada dalam fasa menguasai cara pemberian TP yang terbaik. Perubahan daripada masa ke semasa tentang kandungan DSKP, sukatan dan juga bentuk penilaian kadang-kadang boleh menjadi cabaran untuk guru memberikan penilaian yang bertepatan dengan sepatutnya. Apabila pemberian markah untuk sesuatu yang subjektif, ia terpulang kepada firasat pemberi TP. Dalam satu sesi kelas biasa mungkin TP boleh diberikan dengan mudah. Namun, jika murid akan diberikan TP berdasarkan beberapa kali penilaian setelah 2 atau 3 sesi pembelajaran, guru perlu beri TP secara keseluruhan. Di sinilah, 'bias' mungkin boleh berlaku.

Perkara ini bukan perlu diperdebatkan lagi dari segi kesahihannya kerana sebelum ini, telah pun diperhalusi akan pro dan kontra sesuatu bentuk penilaian. Pentaksiran sebegini walaupun boleh dipersoalkan kesahihannya namun kita perlu mengambil kira bahawa kemahiran murid tidak diukur berapa betul atau salah melalui penilaian bertulis semata-mata. Kita juga mahukan murid yang berkembang secara holistik. Semua ini perlu mengambil kira penglibatan murid, proses mereka belajar, aktiviti berkumpulan dan sebagainya.

Yang penting sekarang, apakah cara untuk Ketua Panitia tadi memastikan TP tersebut boleh diyakini? Di sini ada beberapa panduan yang boleh dirujuk oleh Ketua Panitia untuk membantu guru-guru seliaan agar semua pihak boleh berpuas hati.

1. Lakukan moderasi berkala. Moderasi adalah apabila beberapa pihak berkaliber (Ketua Panitia atau guru lebih berpengalaman) akan double check evidens atau hasil kerja murid dan membandingkan TP yang diberi oleh guru dengan yang diberi oleh pihak berkaliber tadi. Jika berlaku jurang, perlu diadakan perbincangan dan TP perlu dimurnikan. Bagaimanapun, pendekatan ini bergantung kepada masa dan ruang untuk guru melakukannya.
2. Memilih sampel secara rawak dan bincangkan dalam PLC. Guru akan memberikan justifikasi kenapa TP ini diberikan sedemikian dan rakan-rakan PLC boleh beri pandangan. Dengan itu. guru-guru dapat menyemak kemahiran pemberian TP masing-masing. 
3. Kumpul evidens sebanyak mungkin. Tidak hanya bergantung kepada hasil kerja murid semata-mata, guru boleh gunakan semua medium yang ada untuk merekod proses pembelajaran murid. Semasa aktiviti, guru boleh catat maklumat, ambil gambar, ambil video dan simpan. Semua ini boleh dirujuk kembali untuk menyokong pertimbangan guru dalam memberikan TP
4. Semua proses diatas, perlu didokumentasikan dan boleh diterangkan kepada ibubapa bahawa pemberian markah adalah melalui proses perbincangan yang kerap. Dengan itu, pihak luar jelas bahawa guru mempunyai kemahiran tinggi, sentiasa ada CPD untuk lebih mahir dalam memberikan TP. 

Untuk melaksanakan PBD ini memang memakan masa sehingga semua pihak boleh berpuas hati. Oleh itu, apa yang penting adalah kerjasama semua pihak. Ketua Panitia dan guru boleh sentiasa banyakkan diskusi berbentuk PLC untuk meningkatkan kemahiran di samping sentiasa bantu-membantu menyemak kemahiran masing-masing. Insha-Allah pembudayaan pentaksiran bilik darjah yang cemerlang akan dapat dilaksanakan.

Terima kasih. 

Anda dijemput untuk menyertai kumpulan Telegram Mudah Mengajar: 

https://t.me/mudahmengajar 

Add Coach Herry di TikTok:

https://www.tiktok.com/@coachherryj

Add Coach Herry untuk lebih content menarik:

https://www.instagram.com/coach_herry

Catat Ulasan

0 Ulasan