Pengurusan Bilik Darjah Mesra Budaya


oleh Syamimi Omar


Bilik darjah merupakan pusat utama yang digunakan untuk murid-murid menjalani sesi pembelajaran dan pengajaran. Pembentukan bilik darjah yang sempurna mampu membentuk persekitaran pembelajaran yang kondusif buat murid dan juga guru (James Ang, 2014). Namun begitu, kepelbagaian murid yang berlatarbelakangkan budaya berbeza dalam kalangan mereka perlu sentiasa dititik berat agar murid dapat belajar dengan selesa.


1. Pengurusan Aspek Fizikal
Konsep pengurusan bilik darjah yang mesra budaya adalah amat penting dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam abad yang mencabar ini. Persekitaran fizikal bilik darjah antara pengurusan yang perlu diberi perhatian agar menghasilkan suasana serta iklim pembelajaran yang kondusif dengan mengambil kira keunikan perspektif dari pelbagai latar belakang budaya dan sosial (Syed Ismail dan Ahmad Subki, 2010). Aspek ini bukan hanya merangkumi aspek kemudahan prasarana sahaja malahan memiliki pertautan antara persekitaran fizikal dengan benda bernyawa seperti guru dan murid.

Bagi mengekalkan persekitaran pembelajaran yang positif, susunan kerusi dan meja murid perlu diberi perhatian. Contohnya, bagi setiap susunan kerusi meja boleh disusun mengikut kumpulan yang berlainan kaum. Menurut kenyataan yang dibuat oleh Mok Soon Sang (2011), aspek persekitaran fizikal seperti tempat duduk memainkan peranan penting untuk mewujudkan interaksi antara murid yang berlainan latar belakangnya. Hal ini bermakna, apabila membentuk meja kumpulan, terdiri daripada etnik yang berbeza dan tidak hanya satu jenis etnik dikelompokkan dalam satu kumpulan. Oleh itu, kerja berkumpulan seperti perbincangan dapat dilakukan dengan mudah sekali gus mampu membentuk kerjasama yang erat antara murid yang pelbagai kaum. Selain itu, di dalam bilik darjah, sudut pembelajaran yang dapat membantu perkembangan intelek murid seperti komunikasi, perkembangan fizikal dan estetika, kemanusiaan, keterampilan diri dan lain-lain perlu diesediakan. Sudut-sudut seperti sudut membaca, sudut bercerita dan sudut persembahan mampu meningkatkan interaksi sesama murid serta dapat memupuk nilai saling memahami dan tolerasi di antara murid. Secara tidak langsung dapat mewujudkan persekitaran mesra budaya.




2. Pengurusan Aspek Sosial
Pengurusan persekitaran sosial yang positif di dalam bilik darjah perlu disedari oleh setiap guru dengan teliti dalam usaha menjamin pembinaan bilik darjah yang mesra budaya untuk kegunaan bersama. Faktor psikososial yang sihat dalam pengurusan bilik darjah ialah pendekatan pengajaran, gaya kepimpinan guru, bentuk komunikasi dan corak interaksi yang diwujudkan oleh guru dalam bilik darjah (Haliza & Joy Nesamalar, 2009: Hasfarina, 2012). Oleh itu, guru mampu mempengaruhi tingkah laku sosial murid sewaktu di dalam bilik darjah.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan dalam memupuk hubungan sosial murid-murid ialah mengadakan aktiviti pembelajaran yang mendedahkan murid untuk berkerjasama melalui pembelaajran koperatif. Sebagai rakyat yang berbilang kaum agama dan budaya, sikap tolak ansur dan saling menghormati perlu didedahkan kepada murid-murid.

Pengalaman bekerja dalam satu pasukan memberikan pengalaman kepada murid untuk memahami orang lain dan cuba bertingkah laku sopan agar disenangi dan diterima. Keselesaan dalam pergaulan mengikut etnik di persekitaran bilik darjah perlu diganti dengan keselesaan pergaulan merentasi etnik (Suresh Kumar N Vellymalay, 2014) . Oleh hal yang demikian, murid perlu diberi pengalaman bercampur gaul dengan rakan-rakan berbeza etnik supaya berjaya membina masyarakat yang harmoni. Selain itu, pembentukan peraturan-peraturan dalam bilik darjah oleh guru turut memainkan peranan terhadap pengurusan sosial para murid. Menurut Mcdonald (2013), guru yang asertif akan membantu murid-muridnya untuk bersikap terpuji di dalam kelas dan memberi tunjuk ajar sekiranya murid-murid melakukan kesalahan melalui penerangan yang jelas. 

Peraturan yang ditetapkan menyebabkan semua murid menerima tanpa mempertikaikan perbezaan agama dan bangsa. Contohnya, peraturan memulakan pembelajaran dengan bacaan doa perlu dijelaskan bahawa walaupun doa dibaca dalam bahasa melayu dan tuntutan cara agama Islam tetapi berdoa kepada Tuhan ialah perlakuan masyarakat Malaysia yang mendukung Rukun Negara prinsip pertama iaitu ‘Kepercayaan
kepada Tuhan’. Secara tidak langsung murid mempelajari peraturan hidup bermasyarakat dengan mematuhi peraturan agar diterima oleh pihak lain.


3. Aspek Sosiolinguistik
Seperti yang telah diketahui, Malaysia memiliki pelbagai etnik, pelbagai bahasa serta budaya dan ini merupakan cabaran terbesar kepada negara dalam membina rakyat bersatu padu. Hal ini menunjukkan bahawa sosiolinguistik di Malaysia bukanlah perkara mudah dan merupakan satu bidang penting dalam menentukan tahap keharmonian dan keamanan Negara (Noriati Rashid dan Boon, 2010). Oleh sebab itu, satu bahasa digunakan bersama diperlukan untuk menjadi bahasa perhubungann semua etnik di Malaysia.

Guru perlu memainkan peranan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan dan mengekalkan pelbagai warisan budaya etnik. Hal ini demikian kerana, dalam soal bahasa, perbezaan bahasa perhubungan mampu menjadi halangan kepada interaksi dan pemahaman yang dikongsi bersama dalam hubungan persahabatan (Sias et.al., 2008: Suresh Kumar: 2014). Guru memainkan peranan penting dalam membentuk diri murid yang menghayati bahasa rasmi dan budaya di samping menerap nilai-nilai meghormati perbezaan bahasa dan budaya semua etnik. Antara peranan yang dimainkan oleh guru ialah menyelitkan unsur-unsur etnik lain dalam proses PdP. Sebagai contoh, menggunakan cerita etnik Iban dalam pengajaran Bahasa Malaysia, menggunakan lagu etnik Kadazandusun dalam subjek Muzik, menggunakan tarian India dalam Pendidikan Jasmani dan sebagainya. Malahan pelbagai permainan tradisional milik etnik-etnik dapat digunakan dalam pendekatan belajar sambil bermain.

Penggunaan sumber PdP yang melibatkan unsur budaya dapat memupuk kesefahaman murid terhadap kepelbagaian etnik. Sekiranya guru meneruskan PdP dengan berkesan, setiap etnik tidak akan tersisih sebaliknya dapat mewujudkan suasana bilik darjah mesra budaya dan menjadikan Malaysia kaya dengan variasi bahasa dan budaya.

RUJUKAN
Haliza Hamzah dan Samuel, J.N. (2009). Siri pendidikan guru: pengurusan bilik darjah dan tingkah laku. Kuala Lumpur: Oxford Fajar Sdn. Bhd

Hasfarina Abas. (2012). Tahap, Amalan Dan Masalah Pengurusan Bilik Darjah Guru - Guru Sekolah Menengah Daerah Segamat. Diakses pada 17 Mac 2020 daripada
http://eprints. utm.my/31564/5/hsfarinaabasmfp2012.pdf

James Ang. (2014). Pengurusan Bilik Darjah: Strategi-strategi mewujudkan komuniti pembelajaran. Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.

McDonald, T. (2013). Classroom Management. Australia: Oxford University Press.

Mok Soon Sang. (2011). Pedagogi Untuk Pengajaran dan Pembelajaran Edisi Kedua. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Noriati Rashid, Boon, P.Y., Sharifah Fakhriah dan Zuaraidah (2010). Guru dan Cabaran Semasa. Shah Alam: Oxford Fajar.

Sias, P.M., Drzewiecka, J.A., Meares, M., Bent, R., Konomi, Y., Ortega, M. and White, C. (2008). Intercultural friendship development. Communication Reports, 21(1), 1-13.

Suresh Kumar N Vellymalay. (2014). Etnisiti dan interaksi sosial dalam kalangan murid pelbagai etnik di bilik darjah. Journal of Human Capital Development Vol. 7 (2),4-761.

Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Miskon. (2010). Guru dan Cabaran Semasa. Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.





Catat Ulasan

0 Ulasan