Strategi Membina Hubungan Positif Guru dan Murid


Oleh Cikgu Syamimi Omar

Hubungan yang positif antara guru dan murid akan mewujudkan iklim kelas yang seronok dan memberi impak kepada hasil pengajaran dan pembelajaran yang positif. Sikap guru yang mengamalkan prinsip diktator perlu dielakkan supaya murid berasa seronok untuk hadir ke sekolah dan mudah untuk menerima ilmu yang disampaikan tanpa tekanan.

Namun begitu, bagaimana untuk membina hubungan positif guru dan murid?

Pertama, menunjukkan keprihatinan kepada murid-murid. Guru perlu mengenali personaliti setiap anak muridnya di dalam kelas. Hal ini demikian kerana kebanyakkan murid agak malu dan segan untuk meluahkan masalah dan perasaan kepada guru secara bersemuka. Namun dengan cara guru mengenali personaliti murid - murid ini, mereka tidak akan berasa segan dan takut lagi untuk mendekati guru sekiranya menghadapi masalah akademik, sosial dan emosi yang perlu diluahkan. Oleh itu, guru berperanan menjadi pendengar yang setia buat murid-murid.

Kedua, mengingat nama murid-murid. Sebagai seorang guru, kita perlulah berusaha untuk mengenali dan mengingat nama murid- murid terutamanya murid-murid yang diajar. Mengikut Jones (2013), beliau berpendapat bahawa guru yang mengingati nama murid-muridnya akan lebih cepat membina hubungan
positif dengan anak muridnya. Justeru, elakkan memanggil murid dengan menggunakan kata ganti nama seperti perkataan awak dan kamu. Sebaliknya, guru mestilah menyapa, menegur dan memanggil murid dengan nama mereka sendiri. Dengan cara ini, hubungan murid dan guru akan menjadi lebih akrab dan mesra.

Ketiga, menerima kelainan dan keistimewaan setiap murid. Guru-guru mestilah bersikap jujur dan tidak boleh memiliki sikap ‘pilih bulu’ dalam kalangan anak-anak murid. Menerima perbezaan yang ada pada setiap individu murid akan membolehkan para guru membina hubungan yang baik sesama murid. Guru boleh cuba memahami dan menerima murid-murid melalui pengumpulan maklumat menggunakan
borang profil pada awal tahun. Maklumat yang dikumpulkan meliputi hobi, keluarga, impian, bakat, minat, perkara yang disukai dan tidak disukai. Menjadikan maklumat murid sebagai contoh sewaktu sesi PdP akan menampak keakraban sesama murid dan guru bagai sebuah keluarga.

Keempat, beri peluang kepada murid untuk mengenali guru. Sesetengah guru tidak bersetuju terhadap cara ini. Namun begitu cara ini sedikit sebanyak akan membuatkan murid berasa adil jika mereka turut mengetahui maklumat tentang gurunya. Tidak ada salah untuk bertukar maklumat seperti makanan kegemaran, warna kegemaran dan juga aktiviti yang suka dilaksanakan pada waktu lapang. Semakin murid selesa dengan gurunya, semakin mereka bersifat lebih terbuka dan boleh menerima.

Kelima, menitikberatkan elemen bukan lisan seorang guru. Seorang guru mestilah memiliki kemampuan menyampaikan maklumat dengan berkesan. Bagi mencapai elemen berkesan itu, guru tidak boleh menjadi seorang tiang di hadapan kelas, malah perlu menggunakan intonasi yang sesuai, gerak badan yang menarik, raut wajah yang ceria serta berpakaian kemas dan menarik.

Tugas sebagai seorang guru itu bukan mudah tetapi jika bergerak sekali dengan minat dan kesungguhan, pastinya dapat menghasilkan murid yang berjaya serta guru yang gembira tanpa tekanan.

‘Guru biasa hanya mengajar, guru luar biasa menginspirasi’,

peranan guru amat besar pada setiap individu, berilah yang terbaik untuk anak didik untuk diri anda sendiri.

Catat Ulasan

0 Ulasan