KELAS TRADISIONAL VS. KELAS FUTURISTIK

oleh Syamimi Omar

Persekitaran bilik darjah yang baik amat penting kerana ia boleh menggalakkan atau menghalang proses PdP berjalan dengan lancar. Bagi menghasilkan bilik darjah yang kondusif, bukan sahaja terletak kepada susunan fizikal bilik darjah, namun aspek emosi murid dan guru juga memainkan peranan. Namun begitu, masih terdapat guru-guru yang lebih selesa menggunakan kelas tradisional berbanding kelas futuristik. Adakah kelas futuristik sahaja yang menjanjikan persekitaran kondusif? Mari kita lihat perbezaan kelas tradisional dan kelas futuristik.

 

Kelas Tradisional

1. Susunan kerusi meja adalah rigid dan mengikut baris demi baris

Bagi kelas tradisional, kebiasaannya, guru akan menyusun meja secara individu dan tidak berkumpulan. Penyusunan seperti ini sememangnya lebih mudah untuk mengawal kelas dan memastikan murid-murid tidak berbual dan mengacau rakan-rakannya. Namun begitu, susunan seperti ini akan menghadkan interaksi antara guru-murid dan murid-murid. Aktiviti berkumpulan juga sukar untuk dilaksanakan.

 


2. Menggunakan kaedah syarahan

Tidak dinafikan, sememangnya, masih ramai guru-guru yang menggunakan kaedah syarahan sewaktu mengajar. Mereka akan menggunakan buku teks dan membaca maklumat yang ada di dalamnya sebagai langkah mengajar di dalam kelas. Murid-murid akan berasa bosan dan kadang kala ada yang tertidur sewaktu mendengar syarahan oleh guru di dalam bilik darjah. Kedudukan guru yang statik di hadapan atau hanya duduk di atas kerusi akan membuatkan pelajar tidak berminat untuk belajar dan hilang fokus.


3. Penglibatan murid dalam aktiviti PdP amat kurang

Ciri pertama dan kedua memberi kesan kepada murid iaitu penglibatan murid dalam aktiviti PdP amat kurang. Kelas tradisional kebiasaannya tidak memfokuskan kepada aktiviti berkumpulan tetapi hanya berpandukan kepada maklumat yang ingin disampaikan. Murid-murid kurang diberikan peluang untuk membuat pembentangan dan aktiviti pembelajaran jika guru hanya menumpukan kepada buku teks dan buku latihan semata-mata.

 

4. Potensi JERI+S sukar untuk dikembangkan

Kelas tradisional ini kadang kalanya mendatangkan suasana yang berada di bawah kawalan pemerintahan diktator oleh seorang guru. Murid perlu mengikut semua arahan tanpa diberikan kebebasan untuk bergerak dan memberikan pendapat. Oleh itu, aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial sukar untuk dikembangkan sewaktu PdP di dalam kelas tradisional. Murid-murid akan sukar untuk berinteraksi sesama rakan dan bertukar pendapat jika tidak dibenarkan oleh guru.

Mari kita lihat, apa pula ciri Kelas Futuristik.


Kelas Futuristik


1. Mempunyai pelbagai ruang pembelajaran

Kelas futuristik sememangnya kelas yang mematuhi kehendak PAK-21. Penyediaan ruang pembelajaran yang pelbagai akan membantu guru untuk mempelbagaikan cara mereka mengajar dan murid juga dapat bergerak aktif di dalam kelas sambil menimba ilmu. Antara ruang pembelajaran yang boleh disediakan ialah seperti ruang membaca, ruang pentas persembahan, ruang bicara santai dan sebagainya. Ruang-ruang ini bukan sahaja menceriakan kelas, malah ia akan memberikan mod seronok kepada murid dan rasa seperti berada di rumah.


2. Persekitaran bilik darjah yang positif.

Bilik darjah yang positif adalah bilik darjah yang disenangi oleh setiap penghuninya iaitu murid dan guru. Guru merasa selesa untuk mengajar dan murid merasa selesa untuk belajar. Rasa selesa itu bukan sekadar suasana yang sejuk tetapi aspek emosi memainkan peranan yang penting. Guru perlu menjalinkan hubungan yang baik dan akrab sesama murid supaya suasana positif akan terhasil. Murid-murid perlu diberi peluang untuk menyatakan pendapat dan berkongsi idea sewaktu belajar supaya mereka dapat meningkatkan keyakinan diri. Bilik darjah yang positif juga merupakan bilik darjah yang harmoni dan aman, oleh itu, guru perlu bertanggungjawab untuk memastikan murid di dalam kelas bergaul antara satu sama lain dan tidak ada yang mensisihkan sesetengah golongan pelajar.

 


3. Murid berasa tenang, seronok dan bermotivasi untuk belajar

Kelas futuristik mestilah memberi kesan dan impak kepada motivasi murid-murid. Murid-murid akan berasa seronok dan tidak sabar ingin ke sekolah kerana memiliki bilik darjah yang cantik, kemas dan selesa untuk belajar bersama rakan-rakan. Secara tidak langsung, kelas futuristik ini turut memainkan peranan untuk menggalakkan murid hadir ke sekolah dan meningkatkan peratus kehadiran murid.


4. Kemudahan TMK

Melalui pengalaman saya sendiri, murid-murid amat seronok jika belajar menggunakan TMK. Penggunaan LCD dan projektor di dalam kelas amat membantu untuk meningkatkan keterujaan murid-murid untuk belajar. Belajar sambil menyanyi, menonton video realiti dan bermain kuiz bersama animasi yang menarik akan membuatkan murid-murid tidak mahu ketinggalan kelas yang menyeronokkan. Malah, mereka akan berasa sedih dan kecewa jika guru menggunakan TMK sewaktu mereka tidak hadir ke sekolah dan meminta untuk menggunakannya lagi. Penggunaan TMK yang optimum dalam bilik darjah sememangnya amat membantu untuk meningkatkan keseronokkan sewaktu belajar dan mengajar.

Itulah perbezaan antara kelas tradisional dan kelas futuristik. Jika kita mendengar istilah tradisional, mesti merasakan aspek itu perlu dikekalkan kerana sudah lama dan sebati digunakan. Tetapi, tidak ada salahnya jika setiap guru menambah ilmu dan cuba menambah keperluan bilik darjah dan dijadikan sebagai kelas futuristik demi motivasi anak didik dan hasil pembelajaran yang lebih berkesan.


untuk lebih perkongsian,

Join Telegram Mudah Mengajar
t.me/mudahmengajar







Catat Ulasan

0 Ulasan