RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN YANG BERKESAN

 


Gagal merancang, adalah merancang untuk kegagalan

Berdasarkan pepatah ini, maka bererti bahawa sesuatu perancangan itu amat memainkan peranan penting dalam setiap perkara dan tidak terkecuali juga untuk seorang guru. Mungkin ada yang mengatakan kegagalan merancang pengajaran mengakibatkan murid tidak mencapai apa yang sepatutnya dicapai adalah lebih teruk jika dibandingkan dengan kegagalan seorang jurutera dalam merancang sesuatu projek. Hal ini demikian kerana, guru sebenarnya adalah seorang jurutera tetapi bukan jurutera membina bangunan tetapi membina anak bangsa yang berpendidikan.

Rancangan Pengajaran Harian (RPH) ini menjadi kewajipan kepada semua guru untuk disediakan sebelum mengajar dan diuruskan dalam sebuah bentuk dokumen yang boleh dilihat dan disemak oleh pihak berkuasa. Walaupun guru itu terlalu veteran atau terlalu berpengalaman, tiada sebab untuk antara mereka tidak melaksanakan pendokumentasian RPH ini. RPH ini membantu setiap guru untuk mengetahui isi pelajaran yang akan diajar, panduan aras tahap pencapaian murid, kaedah pengajaran yang bersesuaian dan menyediakan bahan yang boleh digunakan untuk membantu pengajaran tersebut.

Antara aspek yang dapat membantu untuk menghasilkan RPH yang berkesan antaranya ialah,

Pertama, menjadikan buku teks dan DSKP sebagai rujukan utama.

Buku teks merupakan sumber yang dimiliki oleh setiap murid yang dibekalkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai salah satu bentuk sumber dan bahan bantu belajar. Tidak menjadi kemestian para guru menggunakan buku teks, tetapi dengan penggunaan buku teks, dapat memudahkan para guru dan murid untuk melaksanakan PdP. DSKP yang disediakan adalah sebagai rujukan untuk melihat aras penguasaan yang perlu dicapai oleh murid berdasarkan standard kandungan pelajaran yang telah ditetapkan oleh KPM dan selari dengan kandungan yang terdapat dalam buku teks. Jadi, kedua-dua bahan rujukan utama para guru iaitu buku teks dan DSKP akan membantu guru untuk menghasilkan RPH yang berkesan dan menepati kehendak KPM.


Kedua, penulisan hasil pembelajaran yang logik dan boleh dicapai.

Objektif pembelajaran perlulah realistik dan sejajar dengan aras kebolehan serta minat murid-murid. Guru boleh menetapkan hasil pembelajaran bersesuaian dengan aras murid supaya hasil pembelajaran ini dapat dicapai setiap kali di akhir pembelajaran. Penulisan objektif ini mestilah berpandukan kepada kemahiran dan aktiviti yang dilaksanakan sewaktu PdP. Di sini, saya kongsikan teknik menulis objektif dengan mudah dan dapat membantu para guru menulis objektif dengan lengkap dan jelas yang boleh diperoleh dari blog ini:

http://mudahmengajar.blogspot.com/2018/06/menulis-objektif-pembelajaran.html


Ketiga, pemilihan bahan berkaitan isi pembelajaran yang memberi impak.

Isi pembelajaran yang terdapat dalam buku teks sekolah rendah pada hari ini amat berbeza sewaktu para guru berada di bangku sekolah dahulu kala. KPM pada hari ini memasukkan isi pembelajaran yang lebih ke hadapan dan bersesuaian dengan teknologi pada hari ini. Saya ambil contoh bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah Tahun 5, isi pembelajaran mengenai akaun keldai, insurans dan mesin mencuci pinggan automatik terdapat dalam buku teks. Bagi anak-anak di luar bandar yang kurang dengan kemajuan teknologi, mungkin sukar untuk mereka memahami isi kandungan petikan yang disediakan walaupun kemahiran seperti membina ayat itu dapat dikuasai. Jadi, para guru perlu memainkan peranan untuk menjadi seorang yang lebih kreatif mencari cara untuk memberikan kefahaman mengenai maklumat tersebut kepada murid-murid. Sebagai contoh, guru boleh menayangkan situasi atau lakonan dalam petikan drama atau berita mengenai kes penipuan menggunakan akaun bank palsu untuk menerangkan situasi akaun kedai. Murid akan lebih memahami jika mereka melihat situasi sebenar berbanding membaca petikan, sekali gus idea untuk membina ayat akan diperoleh.


Keempat, pemilihan strategi, kaedah, teknik dan pendekatan yang tepat.

Pelbagai templat penulisan RPH yang mudah dan ringkas boleh diperoleh oleh para guru atau ada sekolah yang membekalkan templat yang seragam pada semua guru-guru. Walaupun para guru memilih templat penulisan RPH yang paling ringkas, guru perlu jujur untuk melaksanakan rancangan pengajaran yang lengkap mengikut langkah supaya lebih berkesan. Jika para guru membahagikan rancangan pengajaran pada beberapa langkah, sudah pasti setiap langkah itu dapat disertakan dengan strategi, kaedah dan aktiviti yang lebih teratur. Objektif pelajaran juga mudah untuk ditulis melaui langkah yang telah dirancang. Contohnya,


Set Induksi (Permulaan)

Aktiviti: Guru hadir ke kelas dengan memakai pakaian pahlawan Melayu. Guru bertanya kepada murid-murid mengenai nama objek yang dipakai di atas kepala sebagai perhiasan (tanjak).

Teknik: Soal Jawab

Langkah 1

Aktiviti: Membaca petikan dialog Pejuang Tanjak Masa Kini yang mengandungi peribahasa secara berkumpulan dan dipersembahkan di hadapan kelas.

Kaedah: Konstruktivisme

Teknik: Soal Jawab, Sumbang saran, Main Peranan

Pendekatan: Komunikatif

Objektif: Murid dapat mengujarkan dialog Pejuang Tanjak Masa Kini mengikut watak yang terdapat dalam petikan dialog dengan sebutan dan intonasi yang betul.

Langkah 2

Aktiviti: Bermain ‘Kuiz Bijak Peribahasa’ melalui aplikasi Plickers

Kaedah: Masteri

Teknik: Kuiz

Objektif: Murid dapat menyuai padan peribahasa pada ruang kosong dialog petikan mengikut kesesuaian ayat dan makan peribahasa dengan tepat.

 

Kelima, konsisten.

Rancangan pengajaran harian akan lebih berkesan jika guru konsisten dan komited untuk melaksanakn rutin ini pada setiap kali sebelum mengajar. RPH yang teratur akan menjadikan guru lebih bersedia sewaktu sesi PdP. Penyediaan rapi dari aspek bahan bantu mengajar dan lembaran kerja akan mendatangkan mod positif dan motivasi seronok untuk mengajar pada para guru yang berdedikasi. Sekali gus, akan membentuk persekitaran pembelajaran kondusif kepada murid-murid. Semoga aura positif seorang guru akan sentiasa ada dalam diri kita semua.


oleh Cikgu Syamimi Omar

Catat Ulasan

0 Ulasan