TIPS CEMERLANG DALAM PENCERAPAN PDPC



Pencerapan PdPc berlaku setiap tahun. Ia bertujuan bagi membantu guru mengukur tahap kemahiran dan kecekapan dalam mengendalikan PdPc. Ia juga sebagai langkah untuk guru membuat refleksi bagi menambah baik kualiti pembelajaran dan pemudahcaraan. Pencerapan ini berlaku dan dibuat melalui penilaian kendiri, pencerapan oleh pentadbir mahupun oleh pihak seperti nazir dan pegawai dari PPD. Hal ini sering menjadi kegusaran guru-guru. Walaupun begitu, keadaan sebegini menjadikan guru lebih peka dan mengasah kemampuan mereka menguasai beberapa aspek dalam Pdpc berkesan. Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan markah yang cemerlang dalam pencerapan pdpc? Ikuti beberapa tips berikut yang juga turut dikongsikan oleh beberapa guru cemerlang.

1. Fahami dan selidik aspek dalam borang pencerapan standard 4 SKPMg2.
Rujuk borang sebenar pencerapan guru. Hal ini dapat membantu guru tentang apakah perincian
kemahiran dan tindakan yang akan diukur. Oleh itu, adalah lebih jelas untuk mengetahui apa                  yang  perlu dibuat semasa PdPc nanti. Rujuk Konsep Standard 4 SKPMg2



2. Rujuk guru-guru cemerlang.
Adalah lebih baik jika guru cemerlang (GC) di sekolah anda dirujuk sebelum tarikh pencerapan PdPc. Hal ini sangat membantu kerana mereka adalah individu yang pernah dicerap. Mereka juga dapat berkongsi tips yang lebih bertepatan kerana jika GC itu ialah guru di sekolah anda, mereka lebih tahu selok belok mengawal murid daripada sekolah yang sama. Mereka juga dapat berkongsi maklumat tentang sumber-sumber yang ada di sekolah untuk membantu guru-guru membuat persediaan.

3. Rujuk ketua panitia.
Ketua panitia kebanyakkannya terlibat dalam proses pencerapan pdpc. Mereka juga mendapat lebih banyak informasi tentang cara pencerapan yang betul. Oleh itu, dapatkan nasihat daripada mereka termasuklah hal-hal berkaitan sukatan dan DSKP.

4. Rujuk barisan pihak pentadbir jika pencerapan akan dilakukan oleh pihak dalaman.
Mahu atau tidak, pihak pentadbir adalah pencerap yang diharapkan. Mereka mempunyai banyak idea memandangkan mereka tahu bagaimana markah diberikan. Mereka juga pernah memberikan markah dengan justifikasi tertentu. Dengan itu, dapatkan panduan daripada mereka dan dapatkan tips kesilapan lazim dalam menjalankan PdPc.

5. Dapatkan panduan daripada SISC+.
SISC+ adalah rakan pembimbing dan pakar pedagogi. Mereka boleh membantu anda menyemak RPH dan memberikan tips yang bertepatan sesuai dengan keperluan PAK21. Standard 4 SKPMG2 itu sendiri dibina atas dasar PAK21. 

6. Berikan perhatian kepada kesilapan biasa dalam PdPc PAK21.
Di sini terdapat beberapa kesilapan lazim dalam PdPc. 
  • Objektif pembelajaran tidak ditulis dan dinyatakan. Objektif pembelajaran (OPEM) mesti ditulis sebagai langkah untuk memaklumkan murid apa yang mereka akan kuasai pada hari ini. Di samping itu ,ia boleh menjadi checklist serta turutan dalam PdPc guru. ini dapat membantu memberikan impresi yang baik dari sudut 4.1 Guru Sebagai Perancang dan 4.2: Guru sebagai pengawal. Rujuk Konsep Standard 4 SKPMg2
  • Terlalu banyak bahan bantu mengajar. Semasa pencerapan guru-guru seperti mengeluarkan The Magic Kit dan Poket Doraemon. Pelbagai bentuk bahan BBM yang akan muncul seperti kertas mahjong, flash cards, poster, bahan maujud dan pelbagai lagi. Perlu diingat ketika dicerap kita mungkin hanya ada 60 minit dengan 10 minit sahaja akan terbuang atas sebab anjakan masa dan untuk pengurusan kelas. Malah, transisi antara satu aktiviti ke satu aktiviti juga memakan masa. Persediaan penggunaan BBM tersebut juga perlu diambilkira. Pelbagai proses pembelajaran akan berlaku dan mungkin mengambil masa yang lebih. Oleh itu, jimatkan masa persediaan dengan menggunakan BBM secara minima. Dicadangkan agar guru-guru menggunakan 2 sahaja jenis BBM tetapu diguna pakai berkali-kali. Contoh; poster digunakan untuk set induksi dan juga sumbang saran. Gunakan kertas mahjong dan kad peta pemikiran sahaja. Buku teks murid juga boleh dikira sebagai BBM. Ringkaskan penggunaan sumber dan maksimakan penggunaannya. Rujuk penggunaan sumber pembelajaran dalam PdPc di sini
  • Kawalan kelas yang tidak sistematik. Murid menjadi bising adalah perkara biasa. Sama ada mereka bosan dan mula membuat bising atau mereka terlalu seronok sehingga menganggu kelancaran PdPc. Oleh itu, gunakan teknik tertentu yang dapat dilihat mententeramkan keadaan untuk kedua-dua jenis situasi. Dalam mengawal juga, ganjaran boleh menjadi lebih baik dari segi mengawal tingkah laku murid. Rujuk:
    31 Cara Mengawal Murid Dalam Kelas50 Idea Ganjaran dalam Kelas
  • Aktiviti kumpulan yang tidak teratur. Aktiviti berkumpulan bukan sekadar untuk ada sahaja. Ia perlu diatur dengan baik. Jika tidak, akan wujud penumpang pasir, proses penyudahan tugasan yang melebihi masa serta kebisingan. Pastikan bilangan ahli kumpulan adalah memadai iaitu antara 4-6 (maksima). Berikan arahan yang jelas, tagging kumpulan serta peranan yang perlu dimainkan oleh setiap kumpulan. Wujudkan kad peranan, penggunaan talking chips dan kad carta nota bagi mengurus perbincangan. Tetapkan juga had masa perbincangan dan pastikan jam/timer wujud di dalam kelas. Murid juga berfikiran dengan lebih KBAT dalam jangka masa yang singkat. 
  • Rumusan dan penutup yang tidak tepat. Kebanyakan penutup diakhiri dengan memberikan tugasan lanjutan. Follow up bukan lah rumusan tetapi satu tindakan selanjutnya yang akan ditulis dalam refleksi. Rumusan adalah satu fasa mendapatkan maklum balasa daripada murid tentang apa yang mereka pelajari daripada pdpc tersebut. Antara bentuk rumusan ialah pandangan, perasaan, refleksi murid, nilai murni serta isi penting. Pada peringkat ini murid tidak dinilai jadi elakkan daripada membuat sebarang aktiviti. Jalankan secara lisan atau bertulis namun perlu dibincangkan walaupun secara ringkas. 
7. Penampilan dan personaliti guru.
Pencerap adalah manusia biasa. Semua orang akan lebih bersemangat dan melakukan tindakan yang baik jika berada dalam suasana yang baik dan selesa. Oleh itu, pastikan guru senyum, kelihatan selesa dan tenang. Pastikan berpakaian lengkap termasuklah tali leher serta bagi wanita bertudung, pakailah tudung yang ceria warnanya. Walau apa keadaan sekalipun guru perlu bertenang dan kelihatan optimistik hatta beberapa perkara tidak menjadi sepanjang PdPc. Elakkan daripada enggan menerika kritikan namun jika ada pandangan peribadi, suarakan dengan fakta dan lemah lembut. Insha-Allah personaliti yang baik dapat membatu mendapatkan markah yang baik walaupun tiada markah diperuntukkan untuk personaliti guru. Hakikatnya bila guru positif, aura dalam PdPc juga muncul dan berlaku dengan baik. 

8. Jadikan PdPc PAK21 satu amalan.
Tiada apa yang lebih baik selain daripada menjadikan PdPc PAK21 satu amalan yang biasa. Secara logiknya, murid yang sudah biasa dengan teknik-teknik PAK21 tidak merasa kekok apabila sesuatu 'teknik baru' dibuat. Mereka juga lebih tahu cara berdisiplin dan perlu diingat bahawa peranan guru lebih kepada pemudahcara. Maksudnya murid sudah tahu apa perli dibuat dalam kelas. Guru juga menjadi biasa apabila dicerap dan jauh lebih mahir. Mulakan sedikit demi sedikit dan sentiasa berPLC. Jadikan amalan dicerap dan Lesson Study menjadi kebiasaan. Insha-Allah hasilnya jauh lebih baik dan guru lebih berilmu.

Kunjungi laman web baru Mudah Mengajar yang lebih mesra pengguna di mudahmengajar.com

Catat Ulasan

2 Ulasan